fb fb fb fb fb

Bersauh tanpa kebenaran dua buah kapal ditahan di perairan Johor

Foto Maritim Malaysia

KOTA TINGGI, 22 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tangki dan sebuah kapal kargo, selepas masing-masing didapati bersauh tanpa kebenaran.
 
Kedua-dua kapal yang berdaftar di Sierra Leone dan Comoros itu ditahan di dua lokasi berbeza, semalam.
 
Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria dalam satu kenyataan berkata, penahanan pertama melibatkan kapal kargo di kedudukan 13.5 batu nautika Tanjung Penawar.
 
"Kru kapal yang ditahan ialah seramai 15 orang warganegara Bangladesh dan Indonesia berumur antara 25 hingga 56 tahun.
 
"Manakala kapal tangki ditahan di kedudukan sembilan batu nautika Tenggara Tanjung Balau.
 
"29 warga India, Pakistan dan Iran berumur 21 hingga 54 tahun berada di atas kapal berkenaan," katanya menerusi kenyataan itu.
 
Nakhoda kedua-dua kapal bersama-sama 12 kru dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 491 B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
 
Sepanjang tahun ini, sebanyak 34 kapal berjaya ditahan Maritim Johor, hasil pelaksanaan Op Jangkar Haram.
 

TETITIA YUSOFF