KUALA LUMPUR, 31 Disember- Semua rakyat Malaysia diharap akan terus bersatu padu dalam melakar kejayaan yang lebih bermakna buat negara di tahun baharu kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ingin melihat Malaysia yang aman, maju dan sejahtera pada tahun 2024.
"Tahun 2024 bakal membuka sebuah lagi episod baharu berisikan hasrat sebuah kemakmuran dan kehidupan yang lebih bermakna. Saya berazam untuk terus komited memikul tanggungjawab yang diamanahkan," katanya menerusi satu hantaran video yang dimuat naik ke akaun facebook hari ini.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu hantaran di facebook menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik dan ideologi untuk meletakan iltizam ke arah mengukuhkan lagi perpaduan.
Perkara itu disebabkan perpaduan menjadi kunci utama kepada keharmonian kaum, kesejahteraan rakyat dan negara serta kemakmuran negara.
Fadillah berkata, asas kekuatan sesebuah negara adalah perpaduan pelbagai lapisan masyarakatnya dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.
"Ini penting supaya tidak ada lagi yang bermain politik, sebaliknya semua fokus ke arah pemulihan ekonomi, membangunkan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat apa lagi dalam kita mendepani ketidaktentuan ekonomi global dan ketegangan geopolitik dunia yang semakin mencabar," katanya.
Negara juga telah melalui 2023 dengan keadaan politik yang lebih stabil dan urus tadbir pentadbiran lebih lancar bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14).
"Semua ini adalah berkat kerjasama dan sokongan semua. Terima kasih rakyat Malaysia," katanya dalam catatan itu.