fb fb fb fb fb

Pelancongan percuma buat rakyat Melaka pada 24 Ogos ini

FOTO HIASAN

AYER KEROH, 4 Jun- Seluruh rakyat Melaka mendapat kemasukan percuma ke lokasi pelancongan di negeri itu pada 24 Ogos depan. Tawaran itu juga terbuka kepada individu yang bermastautin di negeri berkenaan.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam ucapannya pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka bagi penggal kedua di Balai Istiadat, Kompleks Seri Negeri di sini.

Ab Rauf berkata, tawaran kemasukan percuma itu sempena Hari Ulang Tahun Kelahiran Yang Dipertua Negeri, sekali gus sebagai menghargai rakyat Melaka.

Beliau berharap pengumuman berkenaan memberi kegembiraan buat seluruh rakyat negeri tersebut. Selain itu, cuti peristiwa pada 24 Ogos yang jatuh pada hari Sabtu juga akan dianjakkan ke hari Isnin.

Hari ini, Tun Mohd Ali Rustam mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ke-7 bagi penggal kedua.

Beliau akan menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi tempoh empat tahun.

Mohd Ali, 75, sebelum ini dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ketujuh pada 4 Jun 2020 bagi menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob.

Pada 28 Mei lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Mohd Ali sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi penggal kedua, bermula 4 Jun 2024.

SITI AISHAH MD ISA