fb fb fb fb fb

Beri ruang polis siasat kes pengawal pengiring VVIP pukul pemandu e-hailing OKU

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 1 Jun - Warganet diingatkan berhati-hati dan tidak menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) di media sosial, berhubung kes pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) didakwa dipukul pengawal peribadi seorang kenamaan di lobi sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Ia selain bertujuan untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes itu.

Katanya, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain juga telah memberi jaminan bahawa siasatan akan dilakukan dan masyarakat dinasihatkan tidak membuat spekulasi berhubung perkara itu.

"Sekarang dapat jaminan daripada Ketua Polis Negara bahawa siasatan akan dijalankan, kita serahkan dan meletakkan kepercayaan kepada Tan Sri Razarudin Husain untuk lakukan siasatan. Saya percaya sekiranya ada apa-apa berlaku kesalahan tidak ada sesiapa akan dilindungi.

"Dan ini juga pesanan saya sentiasa berhati hati kadangkala kita beri komen kita ingat komen itu pakai buang, itu sikap tidak baik jangan sampai mengeruhkan keadaan," Fahmi bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kita Madani peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Semalam, media melaporkan Razarudin berkata polis akan memanggil individu terlibat dalam kes itu ke Bukit Aman, untuk membantu siasatan dalam masa terdekat dan pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh berdasarkan perkembangan terkini.

Dalam perkembangan lain Fahmi memberitahu kempen keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak dan keluarga bakal dilancar dalam masa terdekat.

Jelasnya, isu penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 13 tahun dan isu pengantunan seksual kanak-kanak (sexual grooming) perlu dihentikan.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan juga berkata, kebanyakan syarat platform media sosial juga tidak membenarkan golongan berkenaan memiliki akaun media sosial.

"Jadi disini kita lihat ibu bapa memang kita faham platform-platform ini banyak memberi manfaat, tetapi ada juga banyak kemudaratan. Harapan saya dengan kempen keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak dan keluarga, kita dapat kumpulkan semua agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara dan seperti Jabatan Perlindungan Data Peribadi supaya memberi penjelasan tentang apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk sentiasa menjamin keselamatan diri, anak-anak kita, keluarga kita apabila kita memanfaatkan internet," katanya.

TETITIA YUSOFF