Beri keutamaan kepada syarikat tempatan bangunkan AI – Sim

Gambar janaan AI

KUALA LUMPUR, 10 Februari – Kerajaan Persekutuan dan negeri digesa memberi keutamaan kepada syarikat tempatan dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna, sebaliknya beralih kepada negara pembangun teknologi berimpak tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keutamaan kepada syarikat tempatan untuk bina pengalaman dan tingkatkan keupayaan dalam pembangunan AI.
  • Lokalisasi projek teknologi perlu diperkasa supaya industri AI tempatan kukuh dan kurang bergantung pada asing.
  • Menyokong pengusaha tempatan memperkukuh rantaian nilai dan melahirkan jurutera serta syarikat AI berdaya saing.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata kemunculan AI sebagai industri baharu membuka peluang persaingan sama rata kepada negara membangun, termasuk Malaysia.

Menurut beliau, Malaysia memiliki kepakaran tempatan yang setara dengan syarikat luar negara dalam pelbagai aplikasi AI, termasuk sistem pengurusan trafik pintar yang ketika ini turut ditawarkan oleh syarikat asing.

“Kerajaan negeri dan kerajaan pusat harus memberi peluang kepada pengusaha tempatan. Apabila syarikat tempatan menerima kontrak, mereka dapat membina pengalaman, meningkatkan keupayaan serta akhirnya berpotensi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata keutamaan kepada syarikat tempatan bukan sahaja memperkukuh rantaian nilai industri, malah membantu melahirkan lebih ramai jurutera dan syarikat AI berdaya saing tinggi.

Sim turut menegaskan pendekatan lokalisasi dalam pemberian projek teknologi perlu diperkasa agar Malaysia mampu membangunkan syarikat AI yang kukuh dan tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi luar.