
PAHANG, 23 Januari – Kemasukan murid ke Darjah Satu seawal usia enam tahun memberi fleksibiliti kepada ibu bapa dalam menentukan pendidikan awal anak-anak.
- Berikan fleksibiliti kepada ibu bapa dalam menentukan kemasukan murid Darjah Satu berdasarkan kesiapsiagaan anak.
- Fokuskan penilaian kesediaan emosi dan mental sebelum memulakan pembelajaran formal pada usia enam tahun.
- Pastikan pemantauan rapi dan tempoh penyesuaian untuk menyokong kanak-kanak yang memasuki Darjah Satu awal.
Bagaimanapun, inisiatif bawah Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 itu perlu mengambil kira kesediaan emosi dan mental murid.
Seorang bapa, Khairu Nizam Mat Zin, menyambut baik keputusan tersebut sambil berkata, ibu bapa perlu akur sekiranya anak-anak belum bersedia.
“Jika anak sudah bersedia, ibu bapa boleh mengikut cadangan tersebut. Namun, sekiranya belum bersedia, pembelajaran seperti biasa lebih sesuai,” katanya.
Sementara itu, Fatin Suziana Yusri berpendapat peluang itu wajar diberikan kepada kanak-kanak yang menunjukkan keupayaan untuk belajar dengan cepat.
“Sekiranya mereka cepat memahami pelajaran, kita boleh benarkan. Tetapi jika masih dalam proses pembelajaran, tidak perlu dipaksa,” katanya.
Bagi Mohd Akram Munir, cadangan itu boleh dilaksanakan sekiranya terdapat tempoh penyesuaian, namun mengakui ibu bapa memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
“Jika ada tempoh tertentu untuk menilai perkembangan kanak-kanak, ia sepatutnya tidak menjadi masalah. Cuma ibu bapa perlu menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu ini,” katanya.
Sementara itu, Norhasnita Halim menekankan kepentingan pemantauan rapi terhadap murid enam tahun yang memasuki Darjah Satu.
“Pemantauan perlu dilakukan seperti di taska dan tadika kerana murid enam tahun masih di peringkat prasekolah dan memerlukan perhatian berterusan,” katanya.
Kerajaan memaklumkan bahawa pelaksanaan cadangan tersebut dijangka bermula pada 2027, bertujuan memberi peluang pembelajaran formal lebih awal, selaras dengan tahap keupayaan semasa kanak-kanak.