PUTRAJAYA, 28 Oktober- Lebih 500 mahasiswa menghadiri Program Karisma Antarabangsa Siswa Madani 2024, di Putrajaya, hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata kesemua mereka bakal melanjutkan pengajian ke Asia Barat tahun hadapan.
Program dianjurkan menampilkan perkara-perkara penting persediaan mahasiswa seperti aspek kenegaraan, forum mengenai dasar dan polisi, kebolehpasaran dan kepimpinan.
"Ini merupakan satu episod baru kepada negara kita, kita mempersiapkan mahasiswa yang akan menyambung pengajian di Asia Barat dengan pelbagai ilmu pengetahuan, termasuk persediaan-persediaan yang penting untuk mereka.
"Program ini juga untuk membentuk pemikiran mereka bagi memastikan mahasiswa mempunyai satu fikrah pandangan yang terbaik dari aspek kenegaraan, pengetahuan dan juga realiti yang ada di sekeliling, serta apa yang perlu dilakukan bila menyambung pengajian di luar negara", katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Karisma Antarabangsa Siswa Madani 2024 bertemakan "Mahasiswa MADANI Cendekiawan Rabbani" di Putrajaya.
Program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi itu juga bagi memupuk sikap toleransi yang tinggi dan saling menghormati sesama insan.