Bengkel kreatif cungkil bakat OKU

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia dalam penganjuran Bengkel Kreatif OKU: Vokal dan Lakonan Asas (Drama Radio) membuka ruang kepada Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya menerusi potensi kolaborasi bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Bengkel kreatif tiga hari fokus vokal dan lakonan untuk 30 peserta OKU, membangunkan bakat dalam drama radio.
  • FINAS akan perluaskan bengkel ke Selatan, Utara, Sabah dan Sarawak untuk tingkatkan penyertaan bakat OKU.
  • Kementerian dan FINAS berbincang dengan RTM untuk gunakan bakat terlatih dalam penerbitan drama radio.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata program yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 Februari di Dewan Bahasa dan Pustaka itu merupakan bengkel pertama seumpamanya memberi fokus khusus kepada golongan OKU yang memiliki kad dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Golongan OKU bukan kekurangan bakat, tetapi kadangkala kekurangan peluang dan ruang untuk menonjolkan kemampuan mereka.

“Kerjasama antara FINAS dan persatuan ini membolehkan lebih banyak peluang dibuka kepada komuniti berkenaan,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.

Seramai 30 peserta menerima latihan vokal dan lakonan drama radio sebelum majlis penutup serta penyampaian sijil diadakan hari ini, sekali gus menandakan langkah awal ke arah pembangunan bakat inklusif dalam industri kreatif negara.

Beliau berkata inisiatif tersebut tidak akan terhenti di Kuala Lumpur, sebaliknya FINAS merancang memperluaskan penganjuran bengkel sama ke zon lain termasuk Selatan, Utara, Sabah dan Sarawak bagi memastikan lebih ramai bakat OKU dapat diketengahkan.

Dalam masa sama, kementerian akan berbincang dengan RTM bagi meneliti kemungkinan menggunakan bakat yang telah dilatih untuk penerbitan drama radio di stesen penyiaran awam itu.

Usaha berkenaan dilihat mampu menyediakan peluang kerjaya bersesuaian kepada golongan OKU, di samping memperkukuh ekosistem kandungan radio tempatan melalui penglibatan bakat baharu yang lebih inklusif.