KRUBONG, 14 Januari- Semua pemilik pusat beli-belah di Melaka diharap dapat memastikan kebersihan tandas di premis kendalian mereka mencapai taraf lima bintang.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata setakat ini masih belum ada tandas pusat beli-belah di negeri itu mencapai penarafan lima bintang.
"Malah ada salah sebuah pusat beli-belah di bandar Melaka hanya mempunyai penarafan satu bintang, ini menunjukkan pemilik premis tidak mengambil kisah akan kebersihan kemudahan tersebut.
“Justeru kita akan adakan lawatan mengejut untuk pastikan pemilik premis melibatkan pihak swasta termasuklah di stesen minyak, surau-surau dan masjid supaya sentiasa menjaga kebersihan tandas.
"Bagi menggalakkan situasi yang lebih baik kita akan mengadakan Pertandingan Tandas Terbersih, saya juga telah giat mencari penaja untuk pertandingan ini dalam masa yang sama kita akan umumkannya pada Hari Alam Sekitar nanti," katanya.
Mengulas lanjut Rais berkata, usaha itu bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak, sebaliknya mahu memastikan semua tandas yang ada di negeri ini berada dalam keadaan bersih.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Isi Minyak Motor Percuma di Caltex Krubong, di sini, hari ini.
Seramai 1,000 penunggang motosikal menerima sumbangan petrol percuma daripada Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput bagi meringankan beban penduduk di kawasan berkenaan.
"Saya tengok sambutan pun ramai khusus orang -orang muda dan juga rider daripada grab food, food panda dan sebagainya. Program ini tidak lain tidak bukan adalah untuk membantu mengurangkan sedikit bebanan kepada masyarakat. Mungkin kita tidak mampu beri setiap minggu tetapi sekurang kurangnya kita ada melakukannya untuk membantu rakyat khususnya dalam DUN Paya Rumput ini," katanya.