KUCHING, 31 Mei- Lebih sejuta belia Sarawak berumur antara 15 hingga 40 tahun dikenal pasti sebagai aset penting dalam memacu agenda pembangunan negeri itu.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, pelaburan terhadap pembangunan belia bukan lagi satu pilihan, tetapi menjadi keperluan strategik bagi memastikan masa depan negeri yang lebih gemilang.
Jelas beliau, kerajaan negeri khususnya bawah kepimpinan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah merintis pelbagai inisiatif seperti Sarawak Youth Creative Industry Fund, SYStartUp dan pembangunan e-sukan, yang disusun selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Beliau turut menekankan komitmen kerajaan untuk memastikan agenda pembangunan belia bersifat inklusif, dengan mengambil kira keperluan belia luar bandar dan mereka dari pelbagai latar belakang, supaya tiada yang tercicir dalam arus transformasi ekonomi baharu Sarawak.
Tambahnya, beliau yakin bahawa belia Sarawak mampu memimpin gelombang perubahan dengan nilai, semangat dan identiti tersendiri, sekaligus menjadi pemacu utama pembangunan negeri ke arah ekonomi yang lebih mampan dan inklusif menjelang 2030.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang mewakili beliau merasmikan Majlis Pelancaran Karnival Belia XTIVE Satok di Kompleks Sukan Satok, Kuching, malam tadi.
Karnival Belia XTIVE Satok yang dianjurkan oleh Kelab Belia Prihatin Bandar Kuching dan berlangsung pada 30 dan 31 Mei ini menjadi platform untuk membangunkan potensi belia di Satok, di samping memperkasa kepimpinan generasi muda.