fb fb fb fb fb

Belia Sarawak digalak sertai pengajian perkapalan- Harry Jinep

Datuk Henry Jinep menghadiri Majlis Tamat Latihan Perantis Marin Dek oleh Pusat Latihan Pelita Maslaut di Miri

MIRI, 27 April- Institusi latihan dalam pengajian perkapalan di negara ini dilihat mampu meningkatkan kadar pembangunan industri perkapalan khususnya di Sarawak.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak Datuk Henry Harry Jinep berkata ia juga selaras dengan hasrat kerajaan dalam melahirkan lebih ramai bakal pelaut tempatan yang akan berkhidmat dalam bidang perkapalan di Malaysia dan juga luar negara.

Katanya, ke arah itu pelbagai kursus untuk keperluan pelaut sama ada bahagian dek atau enjin disediakan bagi memenuhi keperluan pelaut semasa.

Malah, langkah itu juga sekali gus dapat membantu Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah kekurangan pelaut tempatan disamping menampung permintaan Industri perkapalan sama ada di dalam mahupun di luar negeri.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tamat Latihan Perantis Marin Dek oleh Pusat Latihan Pelita Maslaut di Miri.

Beliau amat berbesar hati kerana Pusat Latihan Pelita Maslaut telah menjalankan tugasnya sejajar dengan mandat yang telah diamanahkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia dalam menyediakan latihan-latihan berdasarkan garis panduan yang disediakan oleh Organisasi Maritim Antarabangsa (International Maritime Organization).

Pada majlis tersebut seramai 17 orang pelatih menamatkan latihan Perantis Marin Dek dengan 13 orang daripadanya  merupakan tajaan Yayasan Sarawak.

Al Hakim Furqan Ramzan dipilih sebagai pelajar terbaik manakala Ting Seng Lawrence pula mendapat Anugerah Pelajar Harapan pada majlis berkenaan.

Turut hadir, Pengarah Urusan Pelita Maslaut, Masni Amit, Pengarah Operasi dan Latihan Pelita Maslaut, Mohd Safrin Masni dan Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak Watson Chunggat Leonard Doo.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE