fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 rencana pendekatan terbaik demi rakyat - PM

Perdana Menteri ketika bertemu rakyat di Sabah / Foto FB PM

KUALA LUMPUR, 27 September - Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Oktober depan, akan terus memperlihatkan iltizam Kerajaan MADANI merencana pendekatan terbaik demi membantu rakyat.

Ini termasuk memperkukuh ekonomi serta memastikan kesejahteraan seluruh lapisan masyarakat.

Komitmen itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengingatkan rakyat Malaysia agar berdiri teguh menyokong pemimpin yang menjalankan tugas dengan penuh amanah.

"Memetik kata-kata Mahatma Gandhi, “There is enough on this earth for everyone’s need but not everyone’s greed.” Ia mengingatkan kita bahawa hasil bumi Malaysia yang melimpah ruah sebenarnya cukup untuk semua rakyat hidup selesa.

"Namun jika kekayaan negara dibolot oleh segelintir yang tamak, rakyatlah yang akhirnya merana. Justeru, saya ingatkan agar kita mesti berdiri teguh menyokong pemimpin yang tidak merompak harta negara," katanya.

Beliau menyatakan demikian menerusi catatan di Facebook rasmi selepas mengakhiri jelajah Himpunan Temu Rapat Umum bersempena 27 Tahun Reformasi di Sandakan, semalam.

Menerusi catatan tersebut, Perdana Menteri turut menyeru agar rakyat Sabah tidak mudah termakan dengan gerakan pecah belah yang cuba dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Hari ini, kita buktikan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Negeri membuahkan hasil, menyelesaikan masalah rakyat dan membawa manfaat untuk semua," katanya.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID