PUTRAJAYA, 10 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Belanjawan 2026 yang memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan maritim negara.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, hampir RM1 bilion diperuntukkan kepada Maritim Malaysia bagi empat inisiatif utama meliputi perolehan aset dan pembinaan infrastruktur baharu.
Antara inisiatif termasuk pesawat Maritime Surveillance Aircraft (MSA), pembinaan Kompleks Maritim Kelantan di Tok Bali, Kompleks Zon Maritim Kudat serta pembaharuan Kompleks Bersepadu Zon Maritim Labuan.
Beliau berkata, kesinambungan Belanjawan 2025–2026 membuktikan komitmen kerajaan MADANI terhadap keselamatan perairan negara dan kebajikan anggota agensi.
“Maritim Malaysia akan terus melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan maritim negara terjamin,” katanya.