KUALA LUMPUR, 10 Oktober -Peruntukan RM115 juta bagi meningkatkan latihan guru dalam Belanjawan MADANI 2026 disifatkan sebagai langkah strategik mempersiapkan barisan pendidik menghadapi cabaran pendidikan berasaskan teknologi.
Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhamad Furkan Mat Salleh berkata, inisiatif itu bukan sahaja melibatkan pembangunan fizikal, malah meningkatkan kapasiti insan serta kemahiran abad ke-21.
“Belanjawan tahun ini lebih berorientasikan transformasi sistemik, menyeimbangkan pembangunan fizikal, sosial dan digital pendidikan negara.
Saya berharap untuk tahun 2027, kerajaan memperkukuh lagi penyelidikan pedagogi digital dan pembangunan profesional berterusan guru agar setiap ringgit dibelanjakan memberi impak nyata,” katanya ketika dihubungi RTM.
Belanjawan 2026 memperuntukkan RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan berbanding RM64.2 bilion tahun lalu.
Kementerian Pendidikan Tinggi pula menerima RM18.6 bilion, meningkat daripada RM16.3 bilion pada 2025.
Menurut Muhamad Furkan, peningkatan itu menunjukkan kesinambungan pelaburan strategik kerajaan bagi memastikan pendidikan negara kekal inklusif, tangkas dan relevan dalam menghadapi cabaran global seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim dan ekonomi digital.
Beliau berkata, kerajaan turut memberi penekanan kepada pendidikan awal kanak-kanak dan pendidikan khas, termasuk pembinaan taska baharu serta sekolah pendidikan khas.
“Langkah ini mencerminkan dasar pendidikan yang lebih berteraskan empati dan keterangkuman berbanding tahun sebelumnya,” ujarnya.
Selain itu, peruntukan biasiswa, pinjaman dan elaun pelajar meningkat kepada RM4.4 bilion, manakala inisiatif baharu melibatkan pendidikan percuma PTPTN untuk pelajar miskin serta pengecualian bayaran balik bagi graduan kelas pertama.
“Pendekatan ini progresif dan berasaskan empati sosial, memastikan pelajar dari pelbagai latar belakang mendapat peluang pendidikan yang adil,” katanya.