fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026: Langkah strategik lindungi khazanah alam negara

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 11 Oktober - Belanjawan 2026 memperlihatkan komitmen kerajaan bagi memperkukuh tadbir urus sumber asli, mempercepat peralihan hijau, sekali gus memastikan khazanah alam terus terpelihara demi kesejahteraan rakyat.

Menerusi perkongsian di Facebook, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan sebanyak RM2.38 bilion diperuntukkan kepada NRES bagi tahun 2026 dengan peningkatan sebanyak 5.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peruntukan itu merangkumi RM1.49 bilion membabitkan perbelanjaan mengurus manakala RM891.27 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

"Antara inisiatif utama Belanjawan 2026 di bawah NRES termasuklah RM250 juta Dana Ecological Fiscal Transfer (EFT), RM80 juta bagi 2,500 renjer komuniti Orang Asli dan veteran dan elaun cukai Pelaburan Aset Hijau 100 peratus bagi produk tempatan.

"Bermula tahun depan cukai karbon diperkenalkan selain memperuntukkan sejumlah RM1 bilion untuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) 5.0.

"Selain itu, sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk pemetaan sumber nadir bumi dan pelepasan cukai individu sebanyak RM2,500 bagi mesin rincih sisa makanan," menurut kenyataan tersebut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM