KUALA LUMPUR, 2 Disember - Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan terbesar berjumlah RM66.2 bilion diikuti Kementerian Kesihatan sebanyak RM46.5 bilion yang merangkumi pelantikan tetap 4,500 doktor kontrak pada tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan 2026 merupakan belanjawan keempat di bawah Kerajaan MADANI dan yang pertama dilaksana dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke13.
"Projek pembinaan sekolah baharu yang paling banyak dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini akan dilaksanakan pada tahun 2025 dan 2026. Bantuan am persekolahan untuk murid miskin yang sebelum ini terhad sehingga Tingkatan 3 juga telah diperluas.
"Mulai tahun hadapan, bantuan ini akan dinaikkan sehingga Tingkatan 5 dengan peruntukan sebanyak RM180 juta," katanya.
Tambah beliau lagi, bertemakan “Belanjawan Rakyat”, ia memperuntukkan RM470 bilion perbelanjaan awam merangkumi RM338.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Perbelanjaan itu turut disokong oleh pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (RM30 bilion), kerjasama awam-swasta (RM10 bilion) serta sumbangan badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (RM10.8 bilion).