PUTRAJAYA, 2 September- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memulakan sesi libat urus Belanjawan 2026 mulai Khamis ini bersama pemegang taruh berkaitan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri KKDW berkata, selain meneruskan beberapa inisiatif sedia ada, fokus KKDW dalam Belanjawan 2026 akan turut memberi tumpuan terhadap usaha memperluas peranan Tabika KEMAS Pra Tahfiz dan penubuhan Tabika khusus buat anak-anak autistik.
“Setakat ini terdapat 10,883 Tabika yang telah kita mulakan dengan silibus 30 juzuk untuk anak-anak kita berusia 3 hingga 6 tahun. Dan setakat ini jumlah yang telah menyertai ialah seramai 125,000 pelajar. Insya-Allah tahun depan kita menyasarkan ada lagi penambahan penyertaan akan menjadikan jumlah keseluruhan kepada 140,000 pelajar.
“Bagi penubuhan Tabika anak-anak autistik pula, kita telah mulakan tahun ini dengan pembukaan tiga Tabika autism di Melaka. Kita akan mewujudkan satu negeri satu Tabika autism pada tahun hadapan. Selain menyasarkan satu daerah satu tabika autism menjelang 2027,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di sini.
Tambah beliau, KKDW akan turut memberi tumpuan bagi memperkasa Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya dalam Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan semua agensi di bawah Lembaga Kemajuan KKDW.
“Kita akan terus memberi penekanan terhadap MRSM Ulul Albab yang kini ada 57 yang kita tekankan. Kita juga akan memberikan kursus akademik profesional dan al-Quran agar ada keseimbangan dalam kalangan pelajar,” ujar beliau.
Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan Belanjawan 2026 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober depan.