fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025 tonggak pembangunan mampan untuk Sabah

Fahmi Fadzil

KOTA KINABALU, 19 Oktober- Belanjawan 2025 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam merupakan satu belanjawan yang boleh dijadikan sebagai salah satu tonggak kepada pembangunan mampan bagi negeri Sabah.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, inisiatif yang ditekankan Perdana Menteri seperti menjadikan kampung terpilih sebagai kampung angkat dilihat satu usaha yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi sesebuah kampung berkenaan.

"Perdana Menteri juga menegaskan program Kampung Angkat MADANI dan mereka minta supaya menteri-menteri termasuk Ketua Menteri Sabah untuk mengambil kampung-kampung tertentu yang mereka pilih untuk menjadikan Kampung Angkat.

"...supaya kita dapat faham segala yang berlaku di kampung itu dan bagaimana kita sebagai kerajaan, sama ada persatuan mahupun dekat negeri berusaha untuk menelesaikan masalah mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini.

Mengulas mengenai program berkenaan, Fahmi berkata beliau bersama Pejabat Perdana Menteri akan meneliti manfaat, kos dan perkara yang perlu dipertimbangkan bagi penambahbaikan program itu pada masa hadapan.

"Sekiranya Perdana Menteri ingin melaksanakan program yang serupa, tetapi mungkin sedikit berbeza pelaksanaannya untuk tahun depan, kita akan permudah formatnya untuk menyampaikan segala perancangan yang dilaksanakan kerajaan.

"Ia termasuk yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan kita juga akan manfaatkan Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk usaha ini," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI