PUTRAJAYA, 18 Oktober - Peruntukan RM750 juta Kementerian Pengangkutan (MOT), mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan awam dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.
MOT dalam satu kenyataan memaklumkan, 44 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan mengurus itu, akan digunakan bagi subsidi pengangkutan awam. Ia meliputi perkhidmatan rel darat dan pengangkutan udara.
“Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan yang terbaik bagi rakyat Malaysia, di kawasan bandar dan luar bandar,” menurut kenyataan hari ini.
Sementara itu, langkah meneruskan subsidi My50 dan Pas Mutiara dengan peruntukan RM226 juta, dijangka memberi manfaat kepada lebih 180,000 pengguna di Lembah Klang dan utara.
"MOT juga menyambut baik Kerajaan bagi meneruskan Pas Bulanan My50 Lembah Klang bagi penumpang menggunakan bas dan rel Prasarana di kawasan tersebut. MOT akan menyusul dengan MOF (Kementerian Kewangan) berhubung peruntukan yang telah diluluskan bagi tahun 2025. Sebagai perbandingan, peruntukan yang telah diluluskan pada tahun 2024 adalah sebanyak RM200 juta," menurut kenyataan.
Selain itu, subsidi Tren Tidak Ekonomik (TTE) dengan peruntukan RM22 juta untuk laluan Tumpat-Kuala Lipis dan laluan tambahan ke Gemas, meningkatkan ketersambungan antara bandar dan luar bandar.
MOT turut menyambut baik langkah memperkukuh pengangkutan awam luar bandar, terutamanya menerusi pengangkutan rel.
"Bagi memperkukuhkan lagi pengangkutan awam luar bandar, Kementerian Pengangkutan menyambut baik usaha Kerajaan membuat perolehan set tren elektrik baharu pada tahun 2025. Perolehan set-set tren baharu akan dapat meningkatkan sehingga 1.5 juta penumpang setahun dan juga meningkatkan kekerapan perkhidmatan pada waktu-waktu puncak," menurut kenyataan.
Selain itu, inisiatif Pas Perjalanan Percuma untuk pelajar dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui perkhidmatan KTM Komuter dengan peruntukan sebanyak RM3.942 juta, dapat disediakan.
Manakala subsidi perkhidmatan luar bandar (RAS) dengan peruntukan lebih RM200 juta menghubungkan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.
“Peruntukan lebih daripada RM200 juta untuk subsidi perkhidmatan luar bandar (RAS) yang menghubungkan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak, termasuk laluan baru iaitu Kota Kinabalu ke Layang-Layang serta Miri ke Long Banga ini, dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 800,000 penduduk desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan MOT, kerajaan juga memperuntukkan RM48 juta untuk subsidi tiket penerbangan Flysiswa dan musim perayaan, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 160,000 rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Kenyataan itu memaklumkan, MOT komited untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat melalui peningkatan aksesibiliti dan ketersambungan yang lebih baik di seluruh negara.