KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Perdana Menteri mengumumkan peningkatan peruntukan kepada RM7.5 bilion bagi sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam Belanjawan 2025, berbanding RM6.8 bilion sebelumnya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan di Dewan Rakyat berkata, RM1.2 bilion diperuntukkan kepada Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik yang akan memberi manfaat kepada 77,000 pelajar seluruh negara.
Berikut rangkuman bagi pemerkasaan TVET:
- Geran padanan RM50 juta disediakan untuk lebih banyak industri mengikuti Program "Anak Angkat ILKA".
- PTPK menyediakan pembiayaan sehingga RM500 juta untuk manfaat lebih 20,000 pelatih.
- HRDCorp akan memanfaat dana RM3 bilion untuk menawarkan 3 juta peluang latihan.
- Khazanah menyediakan RM200 juta melalui Program Pembangunan Belia Khazanah (K-Youth) bagi membekalkan 11,000 bakat tempatan kepada sektor utama seperti semikonduktor.
- GiatMARA juga akan menyediakan latihan jangka pendek kepada lebih 3,000 pekerja gig.
- GiatMARA dan kolej komuniti disediakan RM55 juta bagi 5 tahun untuk mengupaya 10, 000 anak-anak huffaz dari institusi tahfiz dan pondok dengan latihan kemahiran.
- Kerajaan mengalu-alukan kerjasama PROTON melalui PROTON Advanced Automotive Technology Institute di Melaka yang menyumbang kurikulum, bantuan tenaga pengajar serta keperluan latihan.
- Kerajaan cadang potongan dua kali ganda bagi perbelanjaan syarikat yang melaksanakan Program Latihan Berstruktur (MySIP) di bawah Talent Corp.
- PERKESO akan membina sebuah Pusat Rehabilitasi yang serba canggih di Terengganu dengan kos hampir RM600 juta.