KUALA LUMPUR, 18 Oktober-Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan pembentangan Belanjawan 2025 dengan petikan surah Al-Baqarah, ayat 22
“Dia yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu, dan langit sebagai binaan, dan menurunkan air dari langit, lalu dengannya dikeluarkan beraneka buah-buahan sebagai rezeki buatmu. Maka janganlah kamu menjadikan sesuatu sebagai sekutu bagi Allah, sedangkan kamu mengetahui.”
Beliau yang juga Menteri Kewangan memulakan pembentangan Belanjawan 2025 pukul 4.06 minit tadi di Dewan Rakyat.
Beliau turut memetik tulisan Imam al-Baydawi dalam tafsirnya yang tersohor Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil menegaskan kekuasaan Allah mengatur alam dengan penuh keteraturan.
“Sunnatullah alam harus digarap tatkala kitaran hujan dari langit menjadi prasyarat penting yang menyuburkan tanaman dan memberikan banyak manfaat kepada manusia. Semuanya
diciptakan Allah SWT agar manusia memerhati, merenung, mempelajari, mengolah dan menguruskannya dengan penuh amanah.
“Tanpa ketinggian ilmu, hikmah dan usaha terancang, kita tidak akan mampu meraih manfaat daripada bumi bertuah ini.
“Maka kita harus mentadabbur pedoman agung Qurani yang penuh berhikmah ini. Disulami perintah syukur atas rezeki yang dikurniakan Allah SWT, al-Quran menegaskan betapa pentingnya mewujudkan ekosistem yang mantap dan lestari serta urustadbir yang cekap bagi menguruskan kekayaan sumber alam secara adil dan saksama,” katanya ketika membentangkan belanjawan yang bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’.
Ini adalah belanjawan ketiga oleh kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.