fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Peruntukan SPRM ditingkatkan kepada RM360 juta

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima peruntukan bernilai RM360 juta menerusi Belanjawan 2025.

Jumlah itu meningkat berbanding RM338 juta, pada tahun sebelumnya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memberi kebebasan sepenuhnya untuk SPRM menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah sekali gus mengheret ke muka pengadilan.

"Angka menunjukkan peningkatan lebih 20 peratus penangkapan dan pembukaan kertas siasatan untuk tahun 2023 ketimbang sebelumnya.

"Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) telah digubal bagi menghapus segala bentuk rasuah melalui strategi ampuh dan terperinci," kata Anwar di Parlimen membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI, hari ini.

Tambahnya, antara ikhtiar lain yang menyusul termasuklah Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat dan RUU Perolehan Kerajaan bertujuan memperkasa tatakelola dan kecekapan perkhidmatan awam.

Dalam perkembangan lain, peruntukan untuk Jabatan Audit Negara ditingkatkan kepada RM200 juta berbanding RM173 juta, tahun ini.

Jelas Anwar, ia sesuai dengan peranan lebih besar agensi itu bagi pengauditan hampir 2,000 syarikat dan entiti yang menerima peruntukan dan jaminan kerajaan.

"Follow The Public Money Audit". Akta Audit telah dipinda untuk memberi Ketua Audit Negara kuasa menyemak dan mengaudit pengurusan dana awam termasuk syarikat yang menerima jaminan kerajaan," tambah Anwar.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM