fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Peruntukan pembangunan syiar Islam, meningkat kepada RM2 bilion

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Belanjawan 2025 mencerminkan usaha murni Kerajaan MADANI memartabatkan pembangunan syiar Islam di Malaysia.

Peruntukan ditambah RM100 juta, berbanding peruntukan tahun ini iaitu sebanyak RM1.9 bilion, sebahagiannya diagih untuk memperkasa institusi pendidikan Islam.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM150 juta dikhususkan kepada projek menyelenggara prasarana pendidikan Islam bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz dan juga sekolah agama rakyat.

Kerajaan juga bersetuju untuk menambah kuota guru KAFA sebanyak 1,500 orang selari dengan tuntutan pendidikan fardhu ain untuk anak-anak. 

Bagi menghargai sumbangan 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut, sumbangan khas sebanyak RM500 dengan peruntukan sebanyak RM35 juta akan disalurkan.

Selain itu, ke arah mempercepatkan proses pengeluaran sijil halal, kerajaan juga akan menambah 100 orang juruaudit halal serta menambah baik sistem MyeHALAL bagi memusatkan 20 agensi kerajaan dan juga 100 badan persijilan halal luar negara.

Projek-projek wakaf juga akan dilaksana dengan bantuan beberapa agensi seperti Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP) dengan dana RM300 juta serta Urban Development Autority (UDA) sebanyak RM200 juta bagi membangunkan projek perumahan rakyat di atas tanah wakaf.

Sementara itu, kerajaan turut menyediakan bantuan tambahan sebanyak RM25 juta kepada Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menguruskan anak-anak yang teranaiya serta melaksanakan program pemulihan akidah susulan Ops Global, baru-baru ini. 

JAKIM dan juga Yayasan Restu juga diminta meluncurkan ikhtiar wakaf Al-Quran bagi mencetak sejuta Al-Quran dengan terjemahan pelbagai bahasa untuk diedar ke seluruh dunia.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM