KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Belanjawan 2025 perlu bersifat inklusif dan adil, meskipun kerajaan berdepan cabaran besar dalam mengurangkan defisit fiskal.
Namun, Penganalisis Ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali percaya, belanjawan kali ini akan membawa berita baik untuk semua lapisan masyarakat.
"Cabaran Belanjawan kali ini adalah untuk memastikan bahawa kita dapat melaksanakan satu Belanjawan yang adil, yang dapat inklusif kepada semua golongan, tidak mengira sama ada golongan B40, golongan M40 ataupun golongan T20. Jadi termasuklah semua golongan rentan dan sebagainya.
"Ini adalah satu cabaran yang sangat besar kepada kerajaan, di samping juga untuk mengurangkan defisit fiskal, supaya kita mempunyai belanjawan yang tidak terlalu besar defisitnya. Itu adalah satu cabaran yang sangat besar", katanya.
Beliau ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.