fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Pahang sasar kutipan hasil RM1.194 bilion

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail / Foto Facebook rasmi wanrosdyOfficial

KUANTAN, 29 November-Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan kutipan hasil berjumlah RM1.194 bilion bagi tahun 2025 iaitu peningkatan sebanyak lima peratus berbanding tahun 2024.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, daripada jumlah itu, RM1.182 bilion akan diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus.

Manakala bagi tujuan Perbelanjaan Pembangunan, peruntukan yang akan disediakan adalah sebanyak RM399.64 juta.

"Bajet pada kali ini meliputi semua aspek mana yang kita laksanakan sebelum ini, kita terus kekal atau tambah baik dan ada juga perkara-perkara baru lah seperti penambahan kos rumah rakyat Pahang", katanya kepada media selepas  Pembentangan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 di Wisma Sri Pahang di sini.

Kerajaan Negeri Pahang juga telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM16.1 bilion pada tahun 2023.

Beliau berkata, pelaburan itu terdiri daripada pelaburan domestik sebanyak RM4.4 bilion  serta pelaburan asing ke Negeri Pahang sebanyak RM11.7 bilion

Antara perkara baharu pada belanjawan itu adalah pembinaan pangsapuri Pahang kepada golongan muda yang berpendapatan rendah.

"Itu adalah projek perintis  di mana kita dapati tanah semakin kurang. Kalau dengan pembinaan pangsapuri ini, ramai yang akan dapat duduk di situ. Tempatnya lokasinya kita masih belum kenal pasti sebab ia merupakan projek rintis", katanya.

Sebanyak RM500,000 diperuntukkan kepada Lembaga Pembangunan Tioman untuk pelaksanaan Kad Pengangkutan Feri Tioman yang dikhususkan kepada penduduk Pulau Tioman.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD