SERDANG, 3 Oktober- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap kerajaan memberikan peruntukan lebih untuk bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam Belanjawan 2025.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata pihaknya mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Kewangan dan berharap cadangan tersebut akan diterima dalam belanjawan kali ini.
"Semestinya R&D... melihat Indeks Inovasi Global, kita berjaya naik tiga anak tangga daripada 36 ke 33. Namun, salah satu yang perlu diperbaiki adalah bidang R&D.
"Pelaburan dalam bidang R&D masih rendah, terutamanya dalam sektor swasta. Kami berharap kerajaan memperkenal inisiatif untuk merangsang pelaburan R&D dalam sektor swasta", katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan NXP Malaysia Sdn Bhd di Serdang.
Tambah beliau, aspek penyelidikan dan pembangunan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan. Ia memerlukan kerjasama dengan industri lain termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).