fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Harap ada peruntukan tambahan untuk kebajikan guru KAFA

Datuk Dr Mohd Na’im pada Majlis Perasmian Penutup Ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan kali kesembilan 2024 di Maahad Al Mashoor Al Islami di sini hari ini.

BALIK PULAU, 29 September- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memohon kepada Kementerian Kewangan (MOF) agar mempertimbangkan peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, peruntukan tambahan itu bagi menjaga kebajikan guru Program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara.

“Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan memang sangat prihatin dengan pengorbanan yang telah diberikan oleh guru-guru KAFA ini. Pada masa yang sama, kementerian dan agensi lain juga mengemukakan cadangan bajet masing-masing.

“Jadi, kita serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk mengumumkan pada 18 Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan kali kesembilan 2024 di Maahad Al Mashoor Al Islami di sini hari ini.

Tahun lalu, sebanyak RM1.9 bilion diperuntukkan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam dalam Belanjawan 2024 termasuk sumbangan khas yang ditambah menjadi RM700 kepada lebih 70,000 guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut di peringkat komuniti.

Ia melibatkan peruntukan lebih RM50 juta bagi menghargai jasa dan peranan besar golongan berkenaan di seluruh negara.

Pada majlis tersebut, Perak dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan kali kesembilan 2024 yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) yang berlangsung sejak Jumaat lepas.

Majlis berkenaan bertujuan untuk mengasah bakat murid Kafa dalam pelbagai bidang, termasuk tilawah al-Quran, hafazan, dan khat.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Dr. Mohd Sukki Othman.

ZEHRA BINTI ZAMBRI