fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025 fokus pada penstrukturan ekonomi jangka panjang

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Belanjawan 2025 disifatkan sebagai langkah berfikiran ke hadapan dengan memberi penekanan serius terhadap penstrukturan semula ekonomi jangka panjang dalam menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican berpandangan inisiatif itu tidak hanya mensejahterakan rakyat namun turut meningkatkan daya saing global dengan menyokong sektor-sektor penting seperti semikonduktor, tenaga hijau, kewangan Islam dan transformasi digital.

“Konsep utama ialah untuk memacu pembaharuan dan memastikan negara maju serta makmur. Daripada kemakmuran itu, kita mahu memastikan ia dapat dimanfaatkan oleh rakyat secara terangkum. Tema ini tercermin dalam pelbagai langkah yang diambil dalam Belanjawan 2025,” katanya dalam program Naratif Khas Pasca Belanjawan 2025 di Angkasapuri Kota Media, di sini pada Sabtu.

Johan turut menyifatkan Belanjawan 2025 sebagai belanjawan yang berhemat dari segi fiskal dan menekankan pembangunan jaringan keselamatan sosial yang lebih kukuh untuk masa depan negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN