fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Bantuan OKU meningkat RM1.3 bilion

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18, Oktober-Kesejahteraan komuniti orang kurang upaya (OKU) terus dibela di bawah Belanjawan 2025 Madani apabila menerima tambahan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion berbanding RM1.2 bilion tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara inisiatif penting yang dicadangkan ialah peningkatan syarat kelayakan gaji bagi penerima Bantuan Elaun Pekerja OKU daripada RM1,500 kepada RM1,700.

Ini bertujuan untuk memberikan lebih banyak sokongan kepada mereka yang bekerja dalam sektor formal.

"Dalam usaha meringankan beban pembayar cukai OKU, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai tambahan: RM7,000 bagi OKU, RM6,000 untuk pasangan OKU, dan RM8,000 bagi mereka yang mempunyai anak OKU yang belum berkahwin", katanya.

Ujar Anwar, Kerajaan juga akan menambah baik kemudahan mesra OKU di semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan meneruskan Program Pemulihan Dalam Komuniti dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.

Dalam pada itu, OKU yang ingin menceburi bidang perniagaan, Skim Sinar BSN menyediakan pembiayaan dengan dana RM50 juta.

Bagi memastikan sistem penyampaian awam lebih terangkum, pusat hubungan Kerajaan (MyGCC) akan menyediakan perkhidmatan khusus untuk memenuhi keperluan pemanggil OKU, seperti menyediakan kemudahan panggilan video dengan bahasa isyarat.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD