fb fb fb fb fb

Belanjawan 2024: RM300 juta disalur kepada NADMA hadapi banjir

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Kerajaan memperuntukkan RM300 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku agensi utama bagi persiapan banjir melalui Belanjawan 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini termasuklah RM100 juta yang bakal disalurkan segera usai pembentangan kali ini bagi memastikan kelancaran persiapan banjir hujung tahun ini.

Tambah Anwar, kerajaan juga bersetuju meningkatkan peruntukan di bawah Tabung Bantuan Bencana Negara tahun hadapan kepada RM200 juta ketimbang RM100 juta tahun ini.

"NADMA juga akan mempertingkatkan tahap keselesaan pusat pemindahan bagi menjamin kebajikan mangsa.

"Antaranya termasuklah menyediakan sembilan Pusat Pemindahan Kekal, membaik pulih tandas, bilik mandi dan stor di 1,500 Pusat Pemindahan Sementera (PPS) serta menyewa tandas-tandas bergerak," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini.

1310 NADMA K9
(Empat ekor anjing Unit K9 iaitu Blake, Lady, Grouse dan Pop, yang terlibat dalam operasi 
SAR mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Dis lepas/FOTO BERNAMA)

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersedia menambah peruntukan sekiranya diperlukan bagi memastikan pengurusan musibah bencana dalam tahap yang terbaik.

Beliau berkata kerajaan juga akan menambah baik kemudahan dan rawatan perubatan bagi anjing K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat serta menambah bilangan anjing pengesan K9 untuk bomba, polis dan kastam dengan peruntukan RM5 juta.

“Kita semua mesti mengingati Blake, anggota Unit Pengesan K9 Bomba yang telah meninggalkan kita setelah menabur bakti untuk negara,” katanya.

Media Baharu