KUCHING, 11 Oktober – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengingatkan supaya peruntukan Belanjawan 2026 dibelanja secara optimum bagi memastikan matlamat yang digariskan benar-benar dicapai khususnya dalam menjamin kesejahteraan rakyat.
- Pastikan peruntukan Belanjawan 2026 dibelanja secara optimum untuk capai matlamat kesejahteraan rakyat.
- Perkukuh sinergi antara agensi persekutuan dan kerajaan negeri bagi pelaksanaan yang berkesan.
- Fokus kepada pelaksanaan dan pemantauan untuk elakkan wang tidak digunakan sepenuhnya.
- Peruntukan negeri ditetapkan berdasarkan skop keperluan, memastikan kewajaran pembahagian.
- Belanjawan MADANI menekankan prioriti rakyat melalui empat tonggak dan sembilan tekad utama.
Beliau berkata, ke arah itu sinergi antara agensi bawah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri diperlukan.
“Apa yang lebih utama, saya nak tumpukan kepada pelaksanaan dan pemantauan itu penting untuk memastikan duit yang diperuntukkan dapat dibelanjakan dan setiap projek atau program dirangka dilaksana secara efektif.
“Kadang-kadang ada peruntukan yang tidak dibelanjakan sepenuhnya. Jadi ini merugikan matlamat yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya pada sidang media Belanjawan 2026 di sini, hari ini.
Dalam belanjawan itu, Sabah menerima peruntukan RM6.9 bilion manakala Sarawak RM6 bilion.
Beliau pada sidang media sama menegaskan bahawa jumlah peruntukan yang ditetapkan menerusi Belanjawan 2026 untuk negeri adalah berdasarkan skop keperluan.
Terdahulu semalam ketika membentangkan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa belanjawan itu dirangka supaya dapat memulangkan kembali hasil negara kepada rakyat melibatkan peruntukan keseluruhan RM470 bilion.
Bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’, Belanjawan 2026 menetapkan sembilan Tekad Utama berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI iaitu Meluhur Tatakelola Terbaik, Memenuhi Keutamaan Rakyat, Menjuarai Ekonomi Bernilai Tinggi, Memacu Produk Ciptaan Malaysia, Memperkukuh Ketahanan Negara, Merapatkan Kesenjangan Mencipta Peluang, Menjamin Kelangsungan Hidup Rakyat, Memperkasa Perkhidmatan Rakyat dan Membina Jati Diri, Membangun Nilai Insan.