Beku perolehan: PAT akan kemuka rayuan kepada PM

Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Datuk Malek Razak Sulaiman ketika sidang media Majlis Sambutan Mula Tugas Panglima ATM ke-24, di Wisma Pertahanan/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Februari – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan pelepasan dana susulan pembekuan perolehan yang diumumkan baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • PAT dan MINDEF akan bentang rayuan kepada Perdana Menteri untuk pelepasan perbelanjaan operasi yang dibekukan.
  • Pembekuan perolehan menjejaskan perbelanjaan operasi penting seperti logistik, pergerakan dan kebajikan anggota.
  • Kegagalan melepaskan perbelanjaan operasi akan menurunkan kesiapsiagaan ATM.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata pihaknya akur dengan arahan pembekuan itu namun keadaan berkenaan akan menjejaskan perbelanjaan operasi (OE) dan perbelanjaan pembangunan (DE).

“Sudah pasti ia akan menjejaskan perjalanan rancangan pembangunan dan juga perbelanjaan operasi yang menguruskan rutin harian yang berlaku sekarang,” katanya dalam sidang akhbar selepas memulakan tugas di Kementerian Pertahanan, hari ini.

“Kesan jangka pendek ialah perjalanan operasi yang sedang berlaku sekarang, bukan pelan pembangunan kerana pelan itu boleh ditangguhkan dan diselesaikan kemudian tetapi perbelanjaan operasi yang dibekukan sudah pasti menjejaskan tugas harian,” katanya.

Beliau berkata perbelanjaan operasi melibatkan keperluan asas pelaksanaan tugas termasuk logistik, pergerakan, kebajikan anggota serta sokongan aset ketenteraan.

Menurut beliau perkara berkenaan sedang diperhalusi oleh MINDEF dan satu pembentangan akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa terdekat.

Mengulas jumlah perbelanjaan operasi, beliau memaklumkan anggaran bagi Tentera Darat sekitar RM2 bilion manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masing-masing sekitar RM1.5 bilion.

“Saya difahamkan perkara ini di peringkat akhir dan dalam tempoh seminggu kita akan bentangkan serta merayu kepada Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan untuk sekurang-kurangnya melepaskan perbelanjaan operasi supaya kita boleh bergerak ke hadapan,” katanya.

“Jika tidak, kesiapsiagaan kita akan turun kerana pembekuan perbelanjaan operasi akan menjejaskan kesiapsiagaan,” katanya.

Pada 16 Januari lalu Perdana Menteri dilaporkan berkata semua keputusan perolehan membabitkan ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara.

Pembekuan itu dilaksanakan sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.