Beku perolehan: Operasi ATM keutamaan MINDEF

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR, 21 Januari – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memohon pertimbangan kerajaan sekiranya pembekuan perolehan berpotensi menjejaskan operasi dan tahap kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

RINGKASAN BERITA AI
  • MINDEF akan mohon kelonggaran sekiranya pembekuan perolehan mengancam operasi dan kesiagaan ATM.
  • Semua pembekuan tertakluk kepada prosedur sedia ada dan memerlukan kelulusan menteri.
  • Permohonan dibuat jika perolehan dianggap kritikal kepada keupayaan operasi, khususnya di kawasan berisiko.
  • ATM melaksanakan operasi berterusan menjaga perairan strategik dan kawalan sempadan termasuk pantai timur Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaksanaan pembekuan perolehan tertakluk kepada prosedur sedia ada dan memerlukan kelulusan menteri sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Menurut beliau, permohonan akan dikemuka kepada kerajaan sekiranya sesuatu perolehan didapati kritikal kepada keupayaan operasi ATM.

“Kita akan merujuk kepada kerajaan jika ada yang boleh menjejaskan operasi dan kesiagaan, maka kita akan mohon untuk diteruskan perolehan-perolehan tu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, ATM ketika ini melaksanakan operasi berterusan bagi menjaga keselamatan perairan strategik negara, termasuk Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu, selain kawalan keselamatan sempadan darat dan maritim dengan lima negara jiran.

Beliau turut memaklumkan kehadiran anggota ATM di pulau-pulau sepanjang pantai timur Sabah bagi menangani ancaman keselamatan, termasuk berkaitan kumpulan Sulu.

“Jika terdapat perolehan yang boleh menjejaskan keupayaan operasi, khususnya di kawasan berisiko, kita akan memohon pertimbangan agar perolehan tersebut diteruskan,” katanya.

Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan pembekuan semua perolehan MINDEF dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai sebahagian langkah penilaian semula serta penambahbaikan tadbir urus perolehan kerajaan.