Beku perolehan aset: PM beri amaran jangan ganggu-gugat siasatan

Gambar arkib Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 21 Januari – Kerajaan meneruskan pembekuan sementara semua perolehan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri mengingatkan tiada siapa boleh ganggu-gugat siasatan perolehan MINDEF dan KDN.
  • Semua perolehan yang belum dimuktamadkan akan diteliti semula dan dipantau sebelum dibawa ke Kementerian Kewangan.
  • DIPN bertujuan perkasakan ekosistem pertahanan, termasuk kemandirian teknologi, rantaian bekalan dan komersial R&D.

Beliau berkata semua perolehan yang telah diluluskan sebelum ini akan diteliti semula dan dipantau rapi sebelum dibawa ke Kementerian Kewangan, dengan mengambil kira keupayaan kewangan negara.

“Saya tegaskan (proses) pembekuan semua perolehan tidak harus sesiapa pun ganggu-gugat, ia mesti melalui proses yang lebih telus dan dipertanggungjawab kepada Menteri bersama Ketua Setiausaha (KSU).

“Kita ada dasar industri pertahana, tapi saya terangkumkan (perlu) ada satu agensi atau atau pusat yang memutuskan secara lebih telus.

“Penentuan jenis senjata dan kelengkapan yang diperlukan bukan ditentukan oleh saya, tetapi oleh mereka yang mempunyai kepakaran, mengikut keutamaan serta keterbatasan yang ada mengikut proses yang telus dan munasabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran DIPN di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Azhan Md Othman.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pembekuan perolehan itu turut diselaraskan di KDN memandangkan penglibatan beberapa agensi berkaitan, dan semua keputusan perolehan mesti dinilai dalam konteks strategi DIPN bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kecurangan.

Beliau berkata DIPN dirangka bagi memperkukuh ekosistem pertahanan secara menyeluruh, bukan sekadar pembelian aset ketenteraan.

Sebaliknya dasar itu merangkumi pembangunan kemandirian teknologi tempatan, pemerkasaan rantaian bekalan domestik serta pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D).