Bekas wartawan BERNAMA, Sabaruddin Ahmad Sabri meninggal dunia

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Januari – Bekas wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Sabaruddin Ahmad Sabri meninggal dunia pada usia 60 tahun, akibat jangkitan paru-paru.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sabaruddin Ahmad Sabri meninggal dunia pada usia 60 tahun akibat jangkitan paru-paru.
  • Jenazah disolatkan di Masjid Jamek FRIM dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong.
  • Berkhidmat di BERNAMA sejak 1985, kemudian bekerja di Utusan Malaysia, RTM dan sektor korporat.
  • Aktif dalam ISWAMI serta sukan hoki; bersara tahun lalu ketika bersama Alam Flora Sdn Bhd.

Menurut isteri allahyarham, Suzrina Shamsuddin, allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.28 pagi tadi di Hospital Sungai Buloh.

Jenazah allahyarham dibawa ke Masjid Jamek FRIM untuk disolatkan selepas zuhur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Taman Ehsan, Kepong, Selangor.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Sabaruddin memulakan kerjaya kewartawanannya bersama BERNAMA pada 1985, dengan tugasan awal di Meja Ekonomi sebelum menyertai Utusan Malaysia.

Beliau kemudiannya melebarkan pengalaman dalam sektor korporat termasuk berkhidmat bersama Bridgecon Holdings Bhd, sebuah syarikat pembinaan, sebelum beralih ke bidang penyiaran.

Beliau seterusnya menyertai Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan dikenali sebagai antara pengacara program Selamat Pagi Malaysia.

Selain bidang kewartawanan, allahyarham turut aktif dalam organisasi media serantau dan merupakan antara individu yang terlibat dalam Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI), inisiatif bagi memperkukuh hubungan profesional serta persahabatan pengamal media kedua-dua negara.

Allahyarham juga dikenali sebagai individu yang aktif dalam bidang sukan, khususnya hoki, apabila terlibat dalam pembentukan pasukan hoki BERNAMA pada akhir 1980-an yang sering menyertai kejohanan melibatkan agensi media dan jabatan kerajaan.

Pada fasa akhir kerjayanya, Sabaruddin berkhidmat dalam sektor swasta dan bersara tahun lalu ketika bersama Alam Flora Sdn Bhd.