fb fb fb fb fb

Bekas Pengerusi Bernama meninggal dunia akibat serangan jantung

FOTO BERNAMA


KUALA LUMPUR, 30 Januari-
Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras kira-kira pukul 4 petang akibat serangan jantung pada usia 75 tahun.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Maznah Adam dan tiga orang anak.

Anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu memulakan kerjaya sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1966, sebelum menyertai Bernama selaku Wartawan Kanan pada 1971.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Biro Johor, koresponden bagi Thailand dan Indo-China, Ketua Pengarang Berita, serta Ketua Pengarang.

Allahyarham bersara awal bagi bertanding Pilihan Raya Umum Ke-9 pada April 1995 di kawasan Parlimen Parit Buntar sebagai calon Barisan Nasional dan menang kerusi berkenaan.

Abdul Rahman menjadi Pengerusi Bernama ke-10 dari 1 Februari 2010 hingga 31 Januari 2014, sebelum dilantik semula ke jawatan tersebut hingga 31 Januari 2016.

Media Baharu