KUALA LUMPUR, 18 Februari- Polis mengesahkan kejadian membabitkan seorang wanita yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 21 sebuah kondominium di Cheras semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 9 malam.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui terbaring oleh pengawal keselamatan di kaki lima di Blok C kondominium terbabit.
"Mangsa adalah wanita tempatan dan siasatan masih diteruskan. Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,"katanya.
Difahamkan, mangsa berusia 40 tahun itu mempunyai lima anak dan bekerja sebagai kakitangan awam serta pernah menjadi penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.