fb fb fb fb fb

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia

Tun Mohammed Hanif Omar/ Foto Fail: BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 April- Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia awal sekitar jam 2.15 pagi tadi.

Perkara itu disahkan oleh anak Allahyarham, Abdul Rahmat Omar Mohamed Haniff.

“Dengan perasaan amat dukacita.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.

“Saya, Abdul Rahmat Omar bin Mohamed Haniff, ingin memaklumkan pemergian pulang ke Rahmatullah Ayahanda kami yang dikasihi, Tun Haji Mohammed Hanif bin Omar sekitar jam 2.15 pagi tadi, Sabtu 20 April 2024,” kata Abdul Rahmat dalam kenyataan ringkas.

Pengurusan jenazah akan dilakukan di Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13 Shah Alam, Selangor dan dijangka dibawa ke Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Damansara. 

Tun Mohammed Hanif, 85 tahun merupakan Ketua Polis Negara Malaysia yang keempat dan juga Ketua Polis Negara yang paling lama berkhidmat di Malaysia iaitu selama 20 tahun.

Ia bagi menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang telah terbunuh akibat serangan komunis.

Dilahirkan di Teluk Intan, Perak, Haniff Omar menjadi Ketua Polis Melaka pada 7 September 1970, dan Ketua Polis Selangor pada 6 Disember 1971.

Pada 1 Februari 1973 beliau menjadi Timbalan Ketua Polis Negara.

Selepas persaraan beliau dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Memantapkan Pengurusan dan operasi-operasi PDRM 2004-2005.

Tun Hanif Omar juga adalah Penaung Yayasan Pengaman Malaysia.

ZEHRA BINTI ZAMBRI