fb fb fb fb fb

Bekas Hakim Syarie dinobat sebagai Tokoh Maal Hijrah Johor

Jainudin Mt Sum @ Munajat dinobat sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1446 Hijriah Peringkat Negeri Johor/Foto facebook Majlis Agama Islam Johor

JOHOR BAHRU, 7 Julai- Bekas Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Johor, Jainudin Mt Sum @ Munajat, 75 tahun dinobat sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1446 Hijriah Peringkat Negeri Johor.

Beliau kini berkhidmat sebagai Ahli Panel Mahkamah Rayuan Negeri di Jabatan Kehakiman Syariah Johor sejak 2014, selain aktif menyantuni golongan anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).

Jainudin menerima pendidikan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Al-Azhar di Mesir, sebelum mulakan kerjaya sebagai Kadi Daerah Kluang pada tahun 1981 dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Johor.

"Ya saya fikir mudah-mudahan Kerajaan Negeri Johor juga tidak akan ketinggalan bersama memartabatkan harapan masyarakat Islam seluruh Malaysia dengan memperkasakan Mahkamah Syariah", katanya dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Johor, Datuk Marsan Kassim pula menerima Anugerah Maal Hijrah Tahun 1446 Hijriah bagi kategori kemasyarakatan.

"Setakat ini, saya banyak libatkan diri dalam pengurusan masjid di Daerah Johor Bahru dan juga saya terlibat dalam pengurusan sukan terutamanya golf dan lain-lain permainan, selain daripada itu terlibat juga dengan urusan membantu masyarakat berkaitan pengurusan kewangan", katanya.

Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor Tahun 1446 Hijriah dirasmikan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, sebagai wakil rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dalam ucapannya, beliau memaklumkan kejayaan sesebuah negara itu berkait dengan nilai-nilai mulia yang wujud dalam jiwa setiap warganya serta cabaran global dihadapi perlu diatasi dengan rasional agar setiap masalah dapat diatasi dengan baik dan berkesan.

ROSLINA BINTI DIN