fb fb fb fb fb

Bekalan minyak masak peket di Selangor mencukupi - KPDN

Mohd Zuhairi Mat Radey / Foto RTM

SABAK BERNAM, 26 September- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor menegaskan bahawa bekalan minyak masak peket bersubsidi di negeri itu mencukupi dan tidak terjejas.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata pihak berkuasa menerusi KPDN sentiasa melaksanakan pemantauan untuk memastikan bekalan minyak masak bersubsidi itu dapat terus disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan.

"Bekalan adalah lebih kurang 25,000 tan sebulan. Seharusnya, apabila kita membuat kiraan, bekalan ini mencukupi untuk semua rakyat Selangor.

"Bagaimanapun, kita mendengar keluhan daripada peniaga, antaranya terdapat peniaga kecil yang membawa lima atau enam orang pembeli secara bergilir. Di Selangor, boleh saya katakan keadaan adalah terkawal, dan saya sekali lagi menyeru kepada rakyat di Selangor sekiranya ada aduan, maklumkan kepada kami segera. Kami memberi komitmen untuk mengatasi isu kawalan bekalan ini," katanya kepada pemberita di sini.

Tambahnya, KPDN Selangor turut menyeru pengguna agar terus melaporkan sebarang ketidakpatuhan atau kekurangan bekalan melalui aduan KPDN bagi memastikan hak pengguna dilindungi.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Ride for RAHMAH MADANI 2.0 anjuran KPDN Selangor yang menyaksikan pelepasan konvoi sebanyak 100 buah motosikal dan kereta.

Program berkenaan turut menjelajah ke beberapa lokasi, termasuk rumah kebajikan anak-anak yatim di Sabak Bernam.

KPDN Selangor dalam masa yang sama turut menyampaikan sumbangan Bakul RAHMAH MADANI ke rumah kebajikan berkenaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM