Bekalan makanan asas mencukupi bagi sambutan Tahun Baharu Cina, Ramadan

Bekalan asas di seluruh negara adalah stabil dan mencukupi menjelang perayaan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan. Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Februari – Sumber pengeluaran bekalan barangan makanan asas seperti telur, daging ayam dan lembu, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan di seluruh negara adalah stabil dan mencukupi menjelang perayaan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekalan makanan asas negara stabil dan mencukupi menjelang Tahun Baharu Cina dan Ramadan.
  • KPKM fokus pengurusan dan pemerkasaan pengeluaran untuk memastikan kesinambungan bekalan semasa peningkatan permintaan.
  • Program Jualan Agro Madani (JAM) disediakan secara meluas untuk menawarkan harga 10–30% lebih rendah membantu pengguna.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan, tumpuan diberikan kepada pengurusan dan pemerkasaan pada peringkat sumber pengeluaran bagi memastikan kesinambungan bekalan sentiasa terjamin meskipun terdapat jangkaan peningkatan permintaan yang tinggi.

“KPKM komited dalam memastikan ketersediaan bekalan makanan negara berada pada tahap optimum bagi menampung keperluan domestik sepanjang musim perayaan ini,” menurut KPKM.

Tambah KPKM, bermula dari 1 Januari 2026 hingga 8 Februari lepas, sebanyak 478 program Jualan Agro Madani (JAM) telah dianjurkan di seluruh negara.

Melalui program JAM, rakyat berpeluang membeli barangan keperluan asas yang terpilih pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.

Bersempena dengan Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Pra-Syawal, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bakal menganjurkan 572 program JAM di seluruh negara melibatkan 430 program di outlet peruncitan FAMA dan 142 program di premis kerajaan dan kawasan perumahan terpilih.

“Jualan ini menawarkan bekalan sayur, buah, ikan, telur, barangan runcit dan keperluan lain dengan harga yang lebih rendah untuk membantu meringankan beban kos sara hidup pengguna bersempena dengan musim perayaan dan Ramadan.

“Kerajaan akan memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada bekalan makanan yang mencukupi sepanjang tempoh perayaan tanpa kebimbangan terhadap isu ketersediaan bekalan di pasaran,” tambah KPKM. Bernama