fb fb fb fb fb

Bekalan kelapa dan santan di Johor kembali stabil

Foto Hiasan / Bernama

JOHOR BAHRU, 13 Mac – Bekalan kelapa dan santan di Johor kembali stabil selepas mengalami kekurangan, awal tahun ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han berkata kerajaan mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bagi membantu rakyat mendapatkan kelapa dan santan pada harga lebih rendah.

"Bekalan setakat ini stabil, cuma harga sedikit meningkat. Maka, hari ini menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM), kita memberikan subsidi dengan diskaun 30 peratus, membolehkan kelapa dijual pada harga RM12 sekilogram," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program PJRM peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, di sini.

Menurut beliau, Usaha berterusan turut dilakukan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), KPDN dan beberapa agensi lain bagi memastikan bekalan mencukupi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN