SHAH ALAM, 15 Jun - Stok bekalan darah di seluruh negara mencukupi ketika ini bagi semua kumpulan darah.
Pengarah Pusat Darah Negara, Dr. Mohammad Masrin Md Zahrin menyatakan, hampir kesemua hospital di seluruh negara mencatatkan paras simpanan yang stabil, hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi yang giat menggalakkan amalan menderma darah.
"Stok bekalan darah negara setakat ini mencukupi. Hampir semua hospital seluruh negara dan di pusat darah negara berada pada paras selamat untuk kesemua kumpulan darah.
"Ini hasil kerjasama daripada masyarakat universiti menggembleng tenaga menggalakkan amalan menderma darah." katanya selepas merasmikan Kempen Derma Darah Perdana Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam.
Pada majlis itu, sebanyak 1,896 beg darah berjaya dikumpulkan dan akan melalui proses saringan sebelum dibekalkan kepada pesakit yang memerlukan.
Secara purata, negara memerlukan sekitar 2,200 beg darah setiap hari bagi menampung keperluan kira-kira 1,000 pesakit.
Inisiatif berterusan itu penting bagi memastikan keperluan bekalan darah sentiasa mencukupi, khususnya bagi kes kecemasan dan rawatan berterusan.