TANGKAK, 5 Februari - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan bawang dalam pasaran negara masih mencukupi meskipun terdapat larangan eksport keluar dari negara India hingga Mac tahun hadapan.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, larangan eksport terhadap bahan asas masakan itu hanyalah bersifat sementara dan tidak menjejaskan bekalan dalam negara.
Selain itu, kerajaan juga mempunyai pilihan untuk mengimport bekalan bawang dari negara lain seperti China, Thailand dan Pakistan.
"Kadang-kadang masalah dalam negeri, kita perlu hormat itu keperluan dan kepentingan politik dan juga keadaan negara mereka. Kita tidak boleh nak katakan semua dapat diselesaikan sebab masalah makanan ini bergantung kepada suasana dan keadaan, tetapi barang-barang itu ada Insya-Allah," kata Mohamad Sabu selepas mengadakan lawatan ke Projek Penanaman Padi di Kampung Sawah Ring, di sini.
Menurutnya India memberhentikan eksport bawangnya susulan keadaan politik dan cuaca tidak menentu di negara tersebut.
Dalam pada itu Mohamad Sabu memaklumkan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) berskala besar Ala Sekinchan akan diperluaskan di Johor secara berperingkat melibatkan 10 sawah padi berkeluasan 2,254 hektar.
Katanya, langkah itu bagi menambah rezab kawasan penanaman padi sekali gus meningkatkan produktiviti pengeluaran padi negara.
"Kita harap dengan tempat ini dengan permerhatian khusus daripada kerajaan negeri dan persekutuan dan dengan teknologi pembajaan benih, saya yakin satu hari akan mencapai 7 hingga 10 tan per hektar. Harapan saya amat bergembira dengan sokongan dan permerhatian daripada kerajaan negeri amat kita hargai untuk menjayakan program sekuriti makanan ini," katanya.
Program SMART Sawah SBB Ala Sekinchan merupakan program baharu yang diperkenalkan KPKM dengan memfokuskan model dan amalan pertanian baik seperti yang dilaksanakan pesawah di Sekinchan, Selangor.
Sementara itu, KPKM menyalurkan sebanyak RM3.45 juta bagi memperkasakan projek penanaman padi di kawasan itu.
Peruntukan itu bakal menampung usaha penyelengaraan dan penambahbaikan jalan ladang serta kerja-kerja pembinaan sivil.