
KUALA LUMPUR, 1 April – Penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki serta pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) antara langkah segera kerajaan bagi meningkatkan aras empangan.
- Semua agensi diminta menyalurkan maklumat berpusat termasuk pemantauan aras empangan, bekalan air mentah, kelembapan tanah dan kawasan berisiko untuk tindakan segera.
- JPBN perlu mengaktifkan dan memperkasa Pusat Kawalan Bencana Negeri supaya keputusan dibuat berasaskan data dan maklumat teknikal.
- Pendekatan kemanusiaan ditekankan supaya bantuan sampai kepada golongan paling terkesan seperti berpendapatan rendah, warga emas dan petani kecil.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) turut menegaskan semua agensi berkaitan perlu menyalurkan maklumat berpusat termasuk pemantauan aras empangan, bekalan air mentah, kelembapan tanah serta kawasan berisiko bagi membolehkan tindakan segera dilakukan.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) perlu mengaktifkan dan memperkasa Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) bagi memastikan keputusan dibuat berasaskan data dan maklumat teknikal.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyelaras empat siri OPA di Perak, Kedah, Perlis dan Johor bermula 6 hingga 9 April ini dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia),” menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.
Langkah proaktif itu diambil susulan fenomena cuaca panas akibat peralihan monsun yang bermula 29 Mac lalu dan dijangka berterusan hingga Mei.
Walaupun tempoh berkenaan lazimnya membawa ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan, terdapat lokasi berisiko mengalami gelombang haba tahap satu dan dua dengan suhu mencecah antara 35 hingga 40 darjah Celsius.
Keadaan itu menjejaskan aras air empangan serta memberi impak kepada sumber air, sektor pertanian dan kehidupan harian rakyat, khususnya golongan rentan di luar bandar dan pedalaman.
Dalam pada itu, pendekatan kemanusiaan terus diberi penekanan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan paling terkesan termasuk berpendapatan rendah, warga emas dan petani kecil.