fb fb fb fb fb

Beberapa pencawang elektrik di Rantau Panjang, ditutup

Foto Facebook TNB

KOTA BHARU, 26 Disember - Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah menutup bekalan di beberapa pencawang elektrik di Rantau Panjang, Pasir Mas berikutan hujan dan banjir, bermula malam tadi.

Langkah itu dibuat bagi memastikan keselamatan pengguna.

"Ia melibatkan Banggol Kulim, Kubang Rambutan, Degong, Sekolah Kok Pauh, Padang Nyior, Tanjung Erat, Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Setol, Air Teniat, Gual Tambun dan Balai Polis Lubok Setol," menurut TNB menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya.

Penutupan bekalan elektrik itu turut melibatkan kawasan Pondok Gual Dalam, Lubuk Setol, Mountain Ore, Kampung Rahmat, SK Kampung Rahmat dan Limau Purut.

TNB memaklumkan sekiranya banjir bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat.

"Sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir. Simpan dokumen penting di tempat yang selamat," menurut kenyataan itu.

TETITIA YUSOFF