KUALA LUMPUR, 15 Disember - Kerajaan akan membina beberapa klinik kesihatan baharu di Sabah pada tahun 2026, termasuk fasiliti lengkap bagi penduduk luar bandar, sebagai sebahagian daripada pelan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Lukanisman Awang Sauni memaklumkan projek utama adalah Klinik Kesihatan Jenis 5 di Sepulut Nabawan, lengkap dengan komponen pergigian, X-ray, ruang pemerhatian serta 28 unit kuarters untuk kakitangan kelas F.
Selain itu, projek terbabit turut merangkumi perolehan kenderaan ambulans 4x4, perkakasan, sistem Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan pelbagai kelengkapan perubatan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan lebih efisien dan menyeluruh.
"Projek ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya dan kini berada dalam proses penyediaan borang pemulaan pelaksanaan projek, Medical Brief of Requirement (MBOR), Schedule of Accommodation (SOA) serta anggaran kos awal.
"Kajian nilai akan dilaksanakan bagi nilai projek melebihi RM70 juta bagi pengesahan skop dan kos keseluruhan.
"Selain projek baharu tersebut, terdapat sembilan projek sambungan klinik kesihatan di Sabah yang kini berada pada peringkat prapelaksanaan dan dilaksanakan dalam RP1 RMK13 pada tahun 2026," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator, Datuk Bobbey Ah Fang Suan di Dewan Negara di sini.
Dalam masa sama, satu lagi projek klinik Jenis 5 di Si Kuat Kudan kini berada di peringkat akhir pelaksanaan, dengan prestasi projek mencapai 98.48 peratus, dijangka siap sepenuhnya pada 6 April 2026.
Jelas beliau, langkah tersebut dijangka memperkukuh capaian kesihatan di kawasan luar bandar Sabah, memastikan penduduk mendapat perkhidmatan perubatan yang lengkap dan berkesan, selaras dengan komitmen kerajaan meningkatkan infrastruktur kesihatan negeri.