KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Beberapa kapal yang membawa delegasi Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) telah dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari Gaza.
Perkara itu disahkan Sumud Nusantara Command Center (SNCC). Menurut laporan, intimidasi pertama berlaku pada 1.20 pagi terhadap kapal Alma dan Sirius, termasuk penggunaan water cannon dan gangguan komunikasi.
SNCC menegaskan tiada laporan tembakan diterima dan menafikan spekulasi penyeksaan terhadap delegasi Malaysia.
Sehingga pagi ini, 14 kapal flotilla dipintas, termasuk kapal yang membawa 12 rakyat Malaysia. Dua delegasi lain di kapal Mikeno dan Inana tidak dapat dihubungi, manakala baki sembilan delegasi di kapal Free Willy, Fair Lady dan Estrella masih meneruskan pelayaran ke Gaza.
SNCC memaklumkan bahawa pasukan perundangan GSF, termasuk barisan peguam Malaysia yang diketuai Tuan Azril dari CENTHRA, berada dalam keadaan siap siaga untuk menyelaras hal perundangan delegasi Malaysia.
SNCC menegaskan semua pihak merujuk pusat ini sebagai sumber rasmi dan menggesa penyokong serta keluarga peserta terus memberi sokongan moral tanpa terpengaruh dengan naratif palsu.