fb fb fb fb fb

Beban hutang FELCRA, jawatankuasa dibentuk teliti syor dikemuka PAC

Foto hiasan

KUALA KANGSAR, 8 Julai- Satu jawatankuasa telah dibentuk bagi menangani masalah dialami FELCRA Berhad dan anak syarikatnya susulan beban hutang tinggi yang ditanggung entiti berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia langkah proaktif bagi meneliti syor dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menyelesaikan permasalahan berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelbagai aspek berhubung perkara itu telah diteliti termasuk mengadakan perbincangan dengan ketua pegawai eksekutif dan pihak pengurusan anak-anak syarikat bawah FELCRA.

Ia menyentuh usaha mencari agensi atau syarikat yang berminat untuk membeli projek pembangunan FELCRA di Jalan Semarak Kuala Lumpur.

"Setakat ini bangunan (di Jalan Semarak) itu belum dijual, tetapi sebagai menteri yang bertanggungjawab ketika ini untuk membetulkan akaun dan pelaburan FELCRA.

"...saya telah dapat sekurang-kurangnya tiga agensi ataupun syarikat yang berpotensi membeli bangunan yang telah siap itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini.

Kos pembinaan bangunan itu didapati agak mahal, dan ia perlu dijual mengikut harga pasaran supaya hasil jualan itu dapat membayar semula hutang-hutang FELCRA kepada kerajaan.

Pada 26 Jun lepas PAC mengemukakan lima syor kepada kerajaan supaya memantau isu hutang tinggi yang ditanggung FELCRA Berhad serta anak-anak syarikatnya.

PAC mengesyorkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan FELCRA supaya lebih bertanggungjawab dan tegas dalam mengawal selia anak-anak syarikatnya supaya menjana keuntungan dan mencapai matlamat penubuhan.

Ahmad Zahid berkata pandangan dan syor yang dibuat oleh PAC adalah terkait dalam perkara-perkara dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dibentangkan di Parlimen minggu lepas dan akan dibahaskan esok.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI