
KAMPAR, 11 April – Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam perkhidmatan awam diyakini tidak menjejaskan prestasi kerja, sebaliknya berpotensi meningkatkan produktiviti melalui penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang lebih tersusun.
- Penjawat awam BDR tertakluk kepada penilaian prestasi ketat berdasarkan sasaran kerja yang ditetapkan.
- Pelaksanaan BDR dirancang sistematik dengan hari tertentu untuk tugasan dan pemantauan hasil kerja.
- Pemantauan masa kerja dan kehadiran dilaksanakan melalui aplikasi SPOT-Me, fokus pada rekod, hasil kerja dan disiplin.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, penjawat awam yang melaksanakan BDR tetap tertakluk kepada penilaian prestasi ketat berdasarkan sasaran kerja yang ditetapkan.
“Bagi negeri yang cuti kelepasan pada hari Ahad, mereka tidak boleh melaksanakan BDR pada hari Isnin kerana hari itu kita akan beri penugasan kepada pegawai untuk BDR pada Selasa, Rabu dan Khamis,” katanya.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan BDR dirancang secara sistematik termasuk penetapan hari tertentu bagi tugasan dan pemantauan hasil kerja.
“Kita tetapkan apa yang perlu mereka capai apabila bekerja dari rumah dan kita juga tidak benarkan BDR pada hari Jumaat kerana penyelia akan menyemak ‘output’ berdasarkan KPI masing-masing,” katanya lagi.
Menurut beliau, sistem itu memastikan kelangsungan operasi harian jabatan tidak terjejas meskipun sebahagian pegawai bekerja dari rumah.
Tan Sri Wan Ahmad Dahlan ditemui pada Majlis Pelancaran Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI serta Sambutan Aidilfitri bersama komuniti Kampung Kota Bharu di Sekolah Kebangsaan Kota Bharu, di sini.
Mengulas kebimbangan kemungkinan penurunan produktiviti susulan pelaksanaan BDR dalam situasi krisis tenaga global, beliau berkata faktor kepercayaan antara pengurusan dan penjawat awam amat penting.
Pada masa sama, pemantauan dilaksanakan secara berterusan melalui aplikasi SPOT-Me yang dibangunkan Jabatan Digital Negara bagi memastikan pematuhan waktu kerja.
Menerusi sistem itu, pegawai perlu merekod kehadiran secara berkala, selain penilaian turut memberi fokus kepada hasil kerja dan tahap disiplin sepanjang tempoh BDR.